Friday, March 5, 2010

Pertempuran di padang Meha

Pertiwi memanggil

2 Disember 2009. Kuliah berjalan seperti biasa pada hari itu di Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang. Habis kuliah petang Rabu itu, seperti hari-hari biasanya, para pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) USM berkumpul di perkarangan markas pasukan ini di kampus itu bagi mengadakan latihan ringan. Bagaimanapun, tidak seperti kebiasannya, petang itu kelihatan beberapa buah kenderaan rasmi tentera termasuk pacuan empat roda yang biasanya dinaiki pegawai kanan berpangkat brigadier jeneral tersusun kemas di kawasan letak kereta di situ.

Tetapi bagi para pegawai kadet, mungkin ia kehadiran biasa pegawai-pegawai kanan ini yang seringkali singgah di universiti bagi meninjau program latihan ketententeraan di situ. Hampir sejam terpacak di padang kawad, peluh mula membasahi tubuh kira-kira 150 pegawai kadet ini yang lengkap berpakaian separuh loreng bagi memulakan riadah petang. Beberapa pegawai kanan tentera mula keluar meninggalkan bangunan markas Palapes, masuk ke dalam perut kenderaan masing-masing dan berlalu pergi. Tampil ke hadapan ialah seorang pegawai berpangkat Leftenan Kolonel yang tidak dikenali. Dia yang kelihatan tenang kemudian mengeluarkan sekeping kertas dan membacakan di hadapan para pegawai kadet Palapes USM. Ringkas sahaja bunyinya, “anda diarahkan membuat persiapan bagi diatur gerakkan untuk membantu Markas 8 Briged Infantri di Kulim. Kita mengesan adanya cubaan musuh dan khidmat anda, Palapes USM diperlukan!”

Arahan yang tidak dijangka itu memang memeranjatkan. Pegawai Kadet (PK) Sarjan, Mohd. Syafiq Harun, tergamam mendengarnya, tetapi jauh di sudut hatinya berdetik ‘satu rasa berani’ apabila mengetahui ada musuh cuba menggugat kedauatan tanahairnya. Ketika itu juga, status pegawai kadet dan mahasiswa langsung dilupakan, apa yang ada hanyalah rasa marah yang membuak-buak. Baginya, malu jika berundur sedangkan dirinya dan rakan-rakan lain sarat dilatih dengan ilmu ketenteraan bagi tujuan menjadi benteng pertahanan negara. “Ini masa bagi diriku, apa guna memiliki semangat kental dengan rasa kecintaan kepada negara tetapi menapak kebelakang apabila pertiwi memanggil,” bentak hati kecilnya. Perasaan sama juga mula membakar dua rakannya, Pegawai Kadet, Affendy Mohamad dan PKW Nurul Asyikin Zakaria. Bagi mereka, ini bukan masa untuk menarik diri kerana sebagai pegawai kadet Palapes, inilah tujuan sebenar mengapa memilih menyertai pasukan ini.


Merobos perbatasan negara

17 Disember 2009. Sejak seminggu lalu, pihak perisikan Tentera Darat (TD) ada mengesan cubaan elemen-elemen peninjau tentera tentera musuh dari negara Lanun dikesan untuk menyusup masuk ke perbatasan negara di bahagian utara semenanjung melalui Kedah. Sejak dua bulan lalu, pihak perisikan juga berjaya mengesan adanya pergerakan tentera musuh yang mula menggandakan kekuatan mereka di kawasan sebelah sini. Tentera negara Lanun sejak kebelakangan ini dilihat cuba menimbulkan provokasi dengan kepimpinan negara atas beberapa isu-isu semasa yang sebenarnya boleh diselesaikan menerusi meja rundingan. Situasi tegang ini bagaimanapun cuba diambil kesempatan oleh pihak tentera negara itu.

No comments:

Post a Comment