Friday, March 5, 2010

Palapes Gegar Padang Meha

Bagi pegawai kadet peringkat senior, latihan khemah tahunan ini adalah persiapan akhir sebelum mereka layak ditauliahkan sebagai pegawai muda di dalam Rejimen Askar Wataniah merangkap leftenan muda.





TERIK mentari membahang tubuh anggota Kompeni B Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang yang bertahan di sebuah bukit di Padang Meha, Kulim, Kedah.

Sejak seminggu lalu, mereka diatur gerakan oleh Markas 8 Briged Infantri bersama Kompeni A Palapes Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi menyekat kemaraan tentera musuh dari negara Lanun yang cuba menyusup masuk melalui laluan Kulim - Baling.

Tentera musuh yang sebelum ini mendapat tentangan sengit semasa bertempur dengan pasukan 6 Briged di Alor Setar terpaksa menukar taktik apabila berundur sebelum elemen penggempur mereka berjaya disekat di Sungai Petani.

Kegagalan ini memaksa markas pemerintahan induk tentera Lanun mengerahkan pasukan Batalion ke-301 mara melalui jalan Betong - Baling - Kulim yang sedang dipertahankan oleh Batalion Palapes USM-UiTM ini.

Dari atas bukit yang diduduki Kompeni B Palapes USM, jelas kelihatan laluan utama jalan Kulim - Baling yang dijangka menjadi arah paksi kemaraan tentera musuh.

Bagaimanapun, untuk menembusi laluan ini, ada halangan perlu dihadapi tentera Lanun.Di sini, Kompeni A dan B Palapes telahpun memperkukuhkan kedudukan masing-masing dengan kubu-kubu pertahanan termasuk mesingan berat serta kubu yang menempatkan senjata anti kereta kebal.

Selain itu, seluruh perimeter pertahanan di sini ditanam periuk api serta dawai kawat berduri.Hening Subuh 23 Disember 2009 dikejutkan dengan gegaran letupan serta rentetan tembakan mesingan bertalu-talu. Seperti dijangka, pasukan peninjau musuh menyerang pertahanan Batalion Palapes ini dalam cubaan menganggarkan kekuatan lawan

.Kemaraan platun-platun musuh pagi itu dapat dilihat jelas apabila Ketua Kompeni B melepaskan tembakan cahaya suar diikuti dengan tembakan mesingan berat ke arah musuh.


Setelah hampir dua jam bertahan, serangan musuh berjaya dipatahkan.Malah, tentera negara Lanun diasak kembali dan berundur ke sempadan sekali gus menyaksikan daerah Kulim berjaya dipertahankan oleh kedua-dua kompeni Palapes ini.

Perkasa pertahananWalaupun itu senario yang digambarkan pada latihan medan Kem Tahunan Gabungan Palapes Tentera Darat USM - UiTM yang diadakan pada Disember lalu, tetapi realitinya itulah tanggungjawab yang harus dipikul anggota Palapes sekiranya negara diancam darurat atau insurgensi.Demonstrasi serangan akhir gabungan Palapes USM - UiTM ini disaksikan oleh Naib Canselor USM, Kolonel (K) Tan Sri Prof. Dzulkifli Abdul Razak dan Naib Canselor UiTM, Kolonel (K) Tan Sri Prof. Ibrahim Abu Shah yang hadir pada majlis penutup latihan.

Biarpun Palapes merupakan program ko-kurikulum yang disertai warga kampus melalui kerjasama antara Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pengajian Tinggi, ia bertitik-tolak terhadap keperluan memperkasakan pertahanan negara melalui penglibatan mahasiswa.

Oleh itu, peluang mempraktikkan latihan peperangan konvensional pada sesi latihan kali ini menguji kesiap-siagaan anggota Palapes kedua-dua universiti sesuai dengan motto pasukan mereka 'Sentiasa Memimpin'.

Latihan yang bermula sejak 7 Disember lalu, buat julung kalinya menggabungkan pasukan Palapes dari kedua-dua universiti yang diadakan di sekitar Pulau Pinang dan Kedah.

Sepanjang latihan yang membabitkan seramai 674 pegawai kadet, 40 pegawai tetap dan sukarela serta 50 jurulatih itu, para pegawai kadet turut dinilai ilmu kemahiran ketenteraan mereka oleh Tim Validasi dari Markas Latihan Tentera Darat.GEMPUR.

Sebahagian pegawai kadet senior Palapes USM melaksanakan serangan ke atas kubu pertahanan musuh dalam satu latihan di Kulim, Kedah baru-baru ini.

Fasa medan yang berlangsung di sini bagaimanapun hanya membabitkan kira-kira 320 pegawai kadet peringkat senior dan 'intermediate' sahaja bagi fasa pertahanan dan serangan mengikut universiti masing-masing.

Bagi pegawai kadet peringkat senior, latihan khemah tahunan ini adalah persiapan akhir sebelum mereka layak ditauliahkan sebagai pegawai muda di dalam Rejimen Askar Wataniah berpangkat leftenan muda.

Manakala bagi pegawai kadet peringkat 'intermediate' pula, ia sebagai pendedahan awal bagi mereka termasuk mempelajari kaedah pengurusan medan tempur sebelum dinaikkan pangkat ke peringkat senior selepas ini.

Bagi Pegawai Kadet (PK) Sarjan, Mohd. Syafiq Harun, latihan ketenteraan yang diikuti itu mampu membentuk semangat kental pada dirinya dan pada masa sama menyemarakkan lagi rasa kecintaan kepada negara."Program Palapes memang cukup mengujakan terutama bagi siswa-siswi yang inginkan pengalaman mencabar," jelasnya.

Pegawai Kadet, Affendy Mohamad pula menyifatkan, status pelajar tidak menghalang dirinya terbabit dalam latihan lasak sama seperti yang 'dinikmati' oleh anggota tentera."Sepanjang latihan, kami perlu melakukan rondaan tanpa mengira masa, menyiapkan kubu pertahanan di samping menyiapkan laporan operasi dan ia menyeronokkan," ujarnya.

Rakannya, PKW Nurul Asyikin Zakaria tidak menafikan latihan yang diterimanya berjaya membentuk peribadi tahan lasak dan mampu menyerap tekanan semasa belajar.

Sementara itu, Penyelaras Latihan USM Peringkat Senior, Mejar Mustaffa Ibrahim memberitahu, kem latihan gabungan itu mencapai objektif dan para pelatih berjaya mengaplikasikan fasa-fasa latihan seperti ditetapkan.








GEMPUR. Sebahagian pegawai kadet senior Palapes USM melaksanakan serangan ke atas kubu pertahanan musuh dalam satu latihan di Kulim, Kedah baru-baru ini.


No comments:

Post a Comment